Sunday, September 7, 2008

Pro & Kontra: Keringat Presiden FAM harus dihargai

Pro & Kontra: Keringat Presiden FAM harus dihargai
Oleh Raja Ahmad Zainuddin



ALHAMDULLILAH, bersyukur kita kerana masih dapat menyambut bulan Ramadan. Semoga bulan yang mulia ini akan memberkati kita semua.

Selaku ahli majlis dan anggota exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) saya ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Sultan Ahmad Shah yang menerima ijazah kehormat dari Universiti Bedfordshire di Luton, United Kingdom.



Presiden FAM menerimanya, Jumaat lalu di atas sumbangan kepada bola sepak. Tuanku bukan sahaja terkenal dalam dunia sukan tersebut di Malaysia, bahkan juga di rantau Asia.

Ketika Tuanku menjadi Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), buat pertama kali benua kita berjaya menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia.

Malah, bagaikan tidak percaya bagaimana kejohanan berkenaan mampu mencantumkan semula dua musuh ketat, Korea Selatan dan Jepun yang bersedia menjadi tuan rumah.

Baginda mempengerusikan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan masakan mereka memandang benua ini bagi anggota untuk dianugerahkan status tuan rumah Piala Dunia.

Pada era Tuanku juga AFC berdiri megah kerana akhirnya berjaya memiliki pangkalan sendiri dengan terbina Bangunan AFC di Kuala Lumpur. Sebelum ini 'markas' berkenaan kerap bertukar tempat.

Bahkan Tuanku sendiri mengeluarkan sejumlah wang saku bagi merealisasikan pembangunan Wisma AFC itu. Dua presiden terdahulu juga dari Malaysia iaitu - Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj dan Tan Sri Hamzah Abu Samah.

Kini jawatan yang selama ini dikuasai wakil negara kita berpindah tangan apabila Tuanku mengambil keputusan mengundurkan diri. Baru-baru ini, Presiden AFC, Mohamed Hamman mencetuskan kontroversi kerana mahu memindahkan bangunan AFC ke tempat lain.

Tuanku bukan sahaja berjasa kepada kemajuan bola sepak Asia, malah tidak asing lagi kepada dunia bola sepak tanah air. Di zaman baginda bermulanya era bola sepak profesional.

Semoga dengan anugerah itu, Tuanku akan terus menjadi simbol dan nadi utama FAM bagi terus membangunkan bola sepak negara dan melangkah lebih jauh ke hadapan.

No comments: