Wednesday, December 26, 2007

Sathia kekal latih skuad senior-Letak jawatan jika gagal Piala AFF

DUA kali ditimpa kegagalan tahun ini, tuah masih jelas menyebelahi B Sathianathan yang semalam disahkan kekal menerajui kemudi selaku jurulatih skuad bola sepak kebangsaan. Pengesahan itu diluahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin, di sebalik kehampaan Sathia menunaikan sasaran membimbing skuad Bawah 23 Tahun negara merangkul pingat emas ketika temasya Sukan Sea di Korat, baru-baru ini.
Malah pengendali itu bersama barisan pemain hampir sama, turut gagal pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik ketika kehadiran beberapa tonggak berpengalaman bagaimanapun menyaksikan anak buahnya muncul juara Pestabola Merdeka, Ogos lalu. Bagi Khairy, Sathia tidak wajar disalahkan sepenuhnya atas kegagalan di Korat dan perlu diberi peluang membimbing skuad senior di Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), dijadualkan hujung tahun depan. “Saya percaya kita mempunyai pasukan B-23 yang mantap di Korat. Mungkin ada kesilapan strategi, tetapi Sathia tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya.

“Dia akan kekal sebagai jurulatih kebangsaan. Saya juga akan mengadap Presiden (Sultan Ahmad Shah) di London untuk menyerahkan laporan saya dan Sathia mengenai prestasi di Korat,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani kontrak pemain skuad Harimau Muda, semalam. Keputusan itu menyaksikan Sathia menjadi jurulatih kedua selepas Abdul Rahman Ibrahim dikekalkan jawatannya biarpun selepas gagal di Sukan Sea 1999, Brunei. Sathia bingkas menyuarakan penghargaan terhadap keputusan itu dan berjanji akan berpegang kepada pendirian meletak jawatan andainya skuad negara gagal pada Piala AFF nanti. “Saya berterima kasih terhadap kepercayaan ini. Saya berjanji andainya gagal di Piala AFF, saya akan meletak jawatan. Bagi saya, pemain sentiasa memberi usaha 100 peratus sepanjang tempoh bersama saya.
“Tiada apa lagi boleh saya minta selaku jurulatih. (Namun) kegagalan di Korat menjadi pengajaran dan kerja keras perlu bermula dengan perancangan untuk menghadapi Piala AFF nanti,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Khairy turut mengumumkan hasrat FAM untuk membentuk skuad Malaysia B yang akan berwatak selaku pelapis kepada himpunan pemain senior dalam barisan utama. Pemain skuad pelapis itu akan turut diberi pendedahan peringkat antarabangsa untuk memastikan mereka bersedia memikul tanggungjawab apabila diserapkan ke pasukan utama nanti.

No comments: