Sunday, September 7, 2008

'Hubungan FAM, TM kelihatan semakin renggang'

'Hubungan FAM, TM kelihatan semakin renggang'
Oleh Mohd Fadzrie Hazis

KERENGGANGAN hubungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan beberapa persatuan bola sepak negeri kini semakin ketara - malah kini sudah terdapat 'satu pakatan' yang mahu 'memperbetulkan' sekretariat FAM pimpinan Datuk Azzuddin Ahmad. Kegagalan menjana hubungan baik dengan pihak penaja dan penangguhan bayaran kepada pihak yang berurusan dengan FAM adalah antara tindakan Azzuddin yang mencetuskan rasa kurang senang pakatan terbabit. Kekeruhan hubungan dengan penaja utama, TM sudah jelas kelihatan, dengan beberapa tindakan yang diambil FAM kebelakangan ini dilihat membelakangi syarikat komunikasi itu.
Penyisihan TM daripada sebarang pembabitan ketika kunjungan Chelsea Julai lalu dianggap satu kesalahan yang melanggar kontrak tajaan kerana peranan TM adalah sebagai penaja utama skuad kebangsaan, tetapi ia seolah tidak diiktiraf FAM yang mengambil sebuah syarikat pesaing sebagai penaja. Pengumuman Felda sebagai penaja utama Liga Futsal Kebangsaan turut dikatakan menyinggung TM, sehingga satu surat pertanyaan dihantar kepada Azzuddin Ogos lalu berhubung dua kesalahan FAM yang dianggap serius dan mampu membatalkan kontrak tajaan kepada FAM. Lebih menarik, FAM hanya menjemput pihak penaja pada saat akhir untuk menghadiri Mesyuarat Kongres FAM pada 23 Ogos lalu dan wakil media pula seperti tidak dialu-alukan ke dalam dewan.
Berita Harian turut melakukan pendedahan pada 17 Ogos lalu terhadap kegagalan FAM melunaskan bayaran kepada sebuah syarikat yang dipertanggungjawabkan mencetak tiket bagi semua pertandingan Liga Malaysia, musim ini. Ketika itu, jumlah tunggakan berjumlah RM 954,144 dan selepas perlawanan akhir Piala Malaysia pada 23 Ogos lalu ia dianggarkan melebihi RM 1 juta untuk keseluruhan musim 2007/08. Selepas beberapa surat guaman dihantar, FAM hanya membayar RM100,000 kepada syarikat pada penghujung musim lalu dan jelas ia bukan satu kaedah baik untuk berurusniaga.

No comments: