BERIKAN tumpuan kepada pembangunan belia. Itulah teguran membina yang terbit dari mulut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin kepada ahli gabungan negeri kerana kurang memberi penekanan terhadap aspek pembangunan belia. Ia jelas satu mesej keras sekali pun bukan sesuatu yang baru dalam senario bola sepak tanah air agar setiap gabungan bangkit dan lebih kreatif dalam menggilap barisan muda tanpa menunggu arahan dan subsidi badan induk bagi tujuan berkenaan. Bagi Khairy, selagi persatuan bola sepak setiap negeri tidak menggandakan usaha pembangunan belia, selagi itu FAM terpaksa memikul beban berseorangan dan penubuhan pasukan Harimau Muda yang terdiri daripada pemain Bawah 19 Tahun kebangsaan adalah antara usaha pembangunan belia FAM.
Menurutnya, FAM meletakkan skuad B-19 atau Harimau Muda itu bersaing dalam Liga Perdana bertujuan memberi pendedahan kepada pemain beraksi dalam kesebelasan utama, memandangkan sebahagian besar pemain sukar mendapat tempat dalam skuad utama negeri masing-masing. "Saya berharap pada tahun depan, ahli-ahli gabungan negeri dan FAM akan dapat membentuk program pembangunan belia yang berkesan. Sehingga itu, FAM terpaksa terus menanggung beban membentuk dan memupuk pemain belia terbaik negara. "Walaupun skuad B-23 kebangsaan gagal di Korat, ada 15 pemain secara keseluruhan yang masih layak beraksi di Sukan Sea Laos pada 2009. Saya yakin beberapa pemain dalam skuad B-19 ini juga boleh diserapkan untuk membentuk skuad kebangsaan mantap.
"Jika pemain-pemain ini kekal bersama negeri masing-masing, bukan semua yang dapat beraksi dalam kesebelasan utama malah ada juga yang hanya beraksi dalam skuad Piala Presiden. Kini mereka berpeluang bersaing dengan pemain profesional yang lebih senior," kata Khairy, ketika sidang media menandatangani kontrak pemain skuad Harimau Muda. Sebelum ini, FAM pernah meletakkan skuad Olimpik 2000 dalam saingan Liga Perdana tetapi gagal di pusingan kelayakan Olimpik, namun Khairy mempunyai keyakinan skuad Harimau Muda kali ini mempunyai potensi yang lebih baik. "Pasukan ini sebenarnya bermula di landasan tinggi, ketika pusingan kelayakan AFC (Gabungan Bola Sepak Asia) Bawah 20 tahun. Pasukan ini hanya tewas tipis dengan China dan berupaya menewaskan Singapura dengan jaringan besar. "FAM tidak meletakkan sasaran untuk skuad Harimau Muda dalam saingan Liga Perdana, kerana ia adalah pasukan pembangunan tetapi saya yakin pemain tidak akan menghampakan FAM, " kata Khairy yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan.
Khairy juga menjelaskan tiada masalah pelepasan pemain dari persatuan negeri, kerana setiap negeri sudah dimaklumkan mengenai pelepasan pemain mereka ke skuad Harimau Muda. Namun, FAM masih belum menentukan sama ada skuad ini akan terus beraksi atau tidak dalam Liga Perdana musim depan.
Wednesday, December 26, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment